KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan dijangka memutuskan keabsahan proklamasi dan Ordinan Darurat yang diisytiharkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Memberitahu Dewan Rakyat, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata mahkamah tertinggi itu antara lain akan mempertimbang sama ada Perdana Menteri ketika itu menyalahgunakan kuasa atau tidak dalam melaksanakan proklamasi darurat.

"Jadi dalam memberikan satu keputusan isu tersebut, tentunya semua perkara akan diperhalusi termasuk sama ada kuasa mengisytihar darurat digunakan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Kami menunggu keputusan ini dalam masa terdekat. Dalam pengetahuan saya, ia dijadualkan untuk didengar dalam masa terdekat," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab celahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer ketika sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2020 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Ramkarpal turut memaklumkan terbabit dalam kes mahkamah itu sebagai peguam yang mewakili Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar pengisytiharan dan Ordinan Darurat pada 2021 di Mahkamah Persekutuan.

Pada 12 Januari 2021, Istana Negara dalam satu kenyataan mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pengisytiharan proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos tahun sama sebagai langkah membendung COVID-19.